Helena menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dalam majlis tersebut
KUNDASANG: Rumah terbuka iaitu tradisi yang diamalkan masyarakat di Malaysia semasa perayaan merupakan platform perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang merentasi sempadan agama, kaum dan ideologi politik.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, tradisi yang diamalkan masyarakat di sini iaitu menziarahi satu sama lain pada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan lain-lain adalah maksud sebenar perpaduan.
“Dapat hidup dalam perpaduan dan menikmati buah perpaduan secara realiti adalah antara nikmat terindah yang kita warisi di negara ini.
“Ia adalah sesuatu yang rakyat harus bersyukur dan melakukan segala-galanya untuk memelihara keamanan dan keharmonian tanah air kita,” katanya.
Jonathan berkata, tradisi rumah terbuka yang sinonim dengan budaya orang tempatan adalah sesuatu yang istimewa yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.
“Ia bukan sahaja dapat mengecapi erti keamanan yang sebenar, malah merapatkan jurang yang wujud antara kita.

“Sambutan Raya yang sedang berlangsung di daerah ini memberi peluang kepada semua pihak untuk bergaul antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang orang lain yang bersama-sama meraikan perayaan tersebut,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Ranau yang diadakan di Dataran Pekan Kundasang yang dihadiri ratusan tetamu baru-baru ini.
Ia dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Biro Islam Parlimen Ranau, JKDB Kundasang, Persatuan Pemborong dan Penjual Sayur Bumiputera Kundasang dan Kelab Harapan Ranau.
Jonathan berharap, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya kali ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat di sini, selain dapat menceriakan orang ramai yang melalui beberapa cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Acara itu melibatkan acara kemuncak seperti persembahan dan tarian, hidangan pelbagai jenis makanan dan minuman, serta penyampaian duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas oleh isteri Jonathan, Datin Helena Masry.
Turut hadir Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Pengerusi Jawatankuasa Biro Agama Islam Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Hussin Jirat, dan Setiausaha Sulit Jonathan, Lajim Abd. Momen.































