Ellron (kiri) dan Johari menunjukkan dokumen memorandum yang telah ditandatangani.
KENINGAU: Warga pendidik di pedalaman khususnya digesa mainkan peranan penting dalam melahirkan belia yang berkualiti dan berkaliber, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.
Kurangnya penglibatan anak-anak muda pedalaman dalam arena kepimpinan di peringkat lebih tinggi adalah satu perkara amat membimbangkan kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan, katanya.
Justeru, beliau menggesa agar warga pendidik memainkan peranan penting mendidik anak-anak muda ini bergiat secara aktif dalam bidang kepimpinan.
Ellron yang juga ADUN Sook berkata demikian semasa mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Pendidik Daerah(PPD) Keningau kelmarin.

Meskipun ia satu tugas yang sukar beliau berharap agar warga pendidik akan terus cekal dan sentiasa bersedia dalam memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid-murid.
Menyedari hakikat akan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik khususnya mereka yang ditempatkan di sekolah-sekolah terpencil di pedalaman, beliau juga berharap agar warga pendidik terus cekal dan bersemangat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga pedalaman.
“Saya amat menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik lebih-lebih mereka yang ditempatkan di beberapa tempat yang mempunyai akses bekalan air dan elektrik yang amat terhad,” kata Ellron.
Beliau turut menyatakan komitmen beliau akan sentiasa bekerjasama erat dengan PPD Keningau dalam memastikan perkhidmatan pendidikan khususnya di kawasan Sook berjalan dengan lancar dan berada di landasan terbaik.
Kerjasama erat itu telah dimeterai dalam satu Memorandum Perkongsian Pintar antara beliau selaku Wakil Rakyat merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah dengan PPD Keningau.
Memorandum tersebut bertujuan untuk bekerjasama meningkatkan kecemerlangan budaya kerja kedua-dua organisasi; meningkatkan kecemerlangan kualiti pendidikan untuk kemenjadian murid berimpak tinggi; bekerjasama dalam bidang infrastruktur dan pembangunan sekolah; dan bekerjasama dalam bidang pembangunan sukan dan bakat murid.
Terdahulu, beliau juga mengikuti pembentangan disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Johari @ Jaibet Sibin.
Antara yang ditekankan dalam pembentangan itu ialah isu mengenai pembangunan pendidikan di Sook, dan kemudahan dan infrastruktur pendidikan dan ketersediaan PPD Keningau terhadap daerah kecil Sook yang bakal berubah status ke daerah penuh.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Menteri Belia dan Sukan, Jre Jreneus Pagut, Pegawai Pembangunan Masyarakat Sook, Tony Talasoi , pegawai-pegawai PPD dan warga UPPM N.45 Sook.





























