Azizah bergambar kenangan dengan para tetamu yang datang ke rumah terbuka beliau di Kampung Likas semalam.
KOTA KINABALU: Ibu bapa disaran mempertingkatkan pemantauan terhadap anak-anak terutama ketika keluar bermain di musim panas dan berjerebu.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, ia penting bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku ke atas anak-anak sepanjang musim panas dan berjerebu ini.
“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian dan memantau anak-anak kerana kita di sini mengalami masalah jerebu dan cuaca panas yang berterusan sejak akhir-akhir ini.
“Kurangkan aktiviti di luar melibatkan anak-anak kita, pastikan mereka minum air yang mencukupi sepanjang musim panas dan jerebu ini,” katanya pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Jalan Kurol Melangi, Kampung Likas, di sini, semalam.
Hadir sama Naib Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Aziah Atoh, Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Pengerusi Zon 3 Gagasan Rakyat, Datuk Surinam Sadikun, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.
Azizah juga berkata, keamanan yang dinikmati rakyat daripada pelbagai etnik, agama dan fahaman bukannya datang secara bergolek, tetapi hasil kebijaksanaan pemimpin menerajui negara.
Beliau berkata, rakyat yang rasional sudah pasti dapat memahami senario kehidupan negara tertentu yang kekal pada tahap kurang maju di samping sering dilanda persengketaan.
“Sambutan Aidilfitri ini merupakan jambatan mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan.
“Tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana ia dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum. Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat,” ujarnya.
Katanya, perpaduan rakyat negara ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran.































