PETALING JAYA: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengesahkan terdapat data pelanggannya yang diterbitkan di web gelap oleh penjenayah siber.
Menurut Utusan Malaysia, agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut dengan pakar keselamatan siber pihak ketiga sedang dijalankan dan setakat ini kira-kira 20 data pelanggan AKPK dikesan terlibat.
“Kira-kira 20 pelanggan AKPK melibatkan nama dan nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC) telah diterbitkan. Kami sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani kemungkinan lebih banyak data pelanggan AKPK diterbitkan,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, data rakyat Malaysia daripada pelbagai organisasi kerajaan dan swasta dikesan dilelong secara pukal di laman web gelap atau dark web dengan harga serendah RM4,400 sehingga RM45,000.
Kesemua data yang diperoleh daripada pelbagai industri termasuk perbankan, telekomunikasi dan agensi kerajaan dijual kepada penggodam menerusi pasaran gelap seperti forum dan aplikasi telegram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Data-data yang dilelong mempunyai maklumat penuh peribadi setiap individu seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, tarikh lahir, jantina, bangsa, agama, nombor telefon dan gambar.
Menurut AKPK, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital dan CyberSecurity Malaysia dalam menjalankan siasatan menyeluruh.
Katanya, mereka sedang berusaha mengenal pasti maklumat khusus yang telah diakses secara haram dan memaklumkan kepada pelanggan yang terjejas.
“Kami juga menghubungi pelanggan untuk memberitahu mereka tentang pelanggaran keselamatan ini dan membantu mereka mengambil langkah-langkah yang perlu untuk perlindungan masing-masing.
“AKPK juga sedang mengembalikan sistem secara berperingkat dan akan memberi kenyataan rasmi yang terkini serta melaksanakan pengaturan operasi yang perlu bagi meneruskan perkhidmatan kami kepada pelanggan,” katanya.


























