Pasukan bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam sebuah daripada kereta yang terlibat. – Ihsan Bomba
RANAU: Sembilan orang cedera termasuk dua parah apabila tiga kereta bertembung ketika dalam perjalanan balik kampung sempena cuti raya di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian yang melibatkan mangsa berusia antara 18–57 tahun itu berlaku di Kilometer 55 Jalan Ranau-Telupid pada jam 7 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Wasli Saupin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 55 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan tiga buah kereta iaitu jenis Perodua Bezza, Perodua Axia dan Perodua Myvi.
“Setiap kenderaan terdapat mangsa yang cedera dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurut Ridwan, dalam Perodua Axia terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu, di mana pemandu dan penumpang hadapan kedua-duanya mengalami cedera parah, sementara seorang mangsa di bahagian penumpang belakang mengalami cedera ringan.
Dalam Perodua Bezza pula katanya, terdapat empat orang mangsa mengalami cedera ringan manakala dalam Perodua Myvi juga terdapat dua orang lagi mangsa mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa diberi rawatan awal dan dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM untuk rawatan susulan.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 9.50 pagi,” katanya.































