Keadaan Perodua Myvi yang remuk selepas bertembung lori 10 ton di Penampang awal pagi tadi.
PENAMPANG: Seorang lelaki maut apabila Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, kejadian itu berlaku di jalan raya di Kampung Madsiang, di sini pada jam 4.30 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Benny Lim dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh lapan kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan lori 10 tan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di Perodua Myvi itu tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa, Vinston Hairy Hampry, 30 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Zeno, operasi ditamatkan pada jam 4.55 pagi.































