Tangkap layar video memaparkan seorang wanita duduk di tepi jambatan dalam keadaan menangis.
PUTRAJAYA: Tertekan akibat keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya menyebabkan seorang suri rumah nekad duduk di jambatan dalam keadaan menangis di Jambatan Wawasan di Presint 2, di sini Jumaat.
Difahamkan, wanita itu bukan berniat membunuh diri dan mahu terjun dari jambatan itu sebaliknya hanya mahu menangis dan menenangkan diri.
Tindakan itu bagaimanapun disedari orang awam yang kemudiannya berjaya memujuk wanita berusia 30 an itu sebelum dibawa ke Balai polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan insiden tersebut ketika dihubungi kelmarin.
Menurutnya, wanita itu ditemukan orang awam dalam keadaan menangis dan mencurigakan di atas jambatan itu.
“Sebuah Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi kejadian dan membawa wanita itu ke Balai polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati, wanita berkenaan pergi ke jambatan itu kira-kira pukul 11 pagi, semalam (Jumaat) sebelum dilihat orang awam dalam keadaan menangis.
“Siasatan juga mendapati, mangsa mengalami tekanan perasaan kerana keputusan mahkamah ke atas satu kes tuntutan sivil tidak berpihak kepadanya selain terpaksa membayar sejumlah wang ekoran keputusan mahkamah itu,” katanya.
Katanya, mangsa turut dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
Sebelum ini, sebuah video aplikasi TikTok menerusi akaun milik Edywoo tular di media sosial memaparkan seorang wanita duduk di atas jambatan dalam keadaan menangis.





























