Ellron (tiga kiri) menyempurnakan simbolik penyaluran dana kepada Mohd Fadil pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Bersama Jurulatih Majlis Sukan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
KOTA KINABALU: Sabah merupakan negeri pertama yang melaksanakan program Caruman KWSP untuk atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA negeri ini.
Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) telah menyediakan dana caruman bernilai RM400,000 untuk kegunaan caruman bermula Februari 2023.
Menteri Belia dan Sukan; Datuk Ellron Angin telah menyempurnakan simbolik penyaluran dana kepada Pengarah KWSP Wilayah Sabah; Haji Mohd Fadil Sarehan pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Bersama Jurulatih Majlis Sukan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
Fadil semasa memberi taklimat khas berkata, inisiatif yang dilakukan oleh KBSS dalam membela kebajikan atlet menerusi caruman tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di laksanakan di Malaysia.
“KWSP memuji usaha murni Kerajaan Negeri Sabah ini kerana ianya berkaitan dengan masa depan atlet.
“Ini sangat penting untuk memastikan warga atlet yang pernah dan akan mewakili Sabah sekurang-kurang mempunyai simpanan selepas bersara nanti.
“Dan yang baiknya, caruman ini boleh diteruskan oleh para penerima secara peribadi mahupun apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak,” tambah beliau.
Dalam pada itu Ellron berkata, setakat ini seramai 72 orang atlet lantikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah telah disenarai menerima caruman dari Kerajaan Negeri ini.
“Atlet-atlet ini akan menerima caruman dengan syarat mereka masih mengikuti program latihan MSN Sabah dan menerima laporan baik jurulatih.
“Kita berharap caruman ini dapat menggalakkan lagi lebih ramai anak-anak muda bergiat dalam sukan secara serius dan merebut peluang mewakili Sabah khususnya di SUKMA dan Para SUKMA.
“Sebelum ini mungkin ramai yang beranggapan bergiat dalam sukan tidak mempunyai masa hadapan, tetapi caruman ini akan membuka mata semua bahawa hari ini, sukan sememangnya merupakan satu kerjaya yang lumayan,” ujar beliau.
“Kementerian kini dalam kajian untuk pelaksanaan caruman Fasa II di mana selepas SUKMA atau Para SUKMA, atlet-atlet Sabah yang terpilih memasuki program Podium Majlis Sukan Negara akan terus menikmati caruman dari Kerajaan Negeri ini.
“Inilah keprihatinan kita dalam membela nasib dan kebajikan atlet-atlet anak jati Sabah,” tegas Ellron.
Melalui caruman ini, setiap atlet lantikan MSN Sabah akan menerima caruman RM50 ke dalam akaun KWSP mereka setiap bulan.
Hadir sama di majlis itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan; Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBSS; Datuk Mansur Haji Asun dan Pengarah MSN Sabah; Mohd. Asneh Mohd Noor.



























