Hajiji (tengah) bergambar bersama para penerima sumbangan kuih muih Hari Raya pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Katanya, jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran yang lebih selamat, malah akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.
“Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji menerima sumbangan kuih muih Hari Raya daripada isterinya, Datin Seri Juliah Salag yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
Katanya, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati.

Hajiji menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1 April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.
“Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing,” tegasnya.
Hajiji berkata, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.

Hajiji menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya kepada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
“Tidak dilupakan juga pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan di jalan raya, harta benda awam dan sebagainya. Begitu juga petugas kesihatan, doktor, jururawat dan pasukan paramedik yang tidak pernah mengeluh tanpa mengira erti lelah dan masa terutama ketika pandemik COVID-19, juga tidak dilupakan,” tambahnya.
Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan negara.
“Pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi untuk menjaga keamanan dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan hari raya yang akan menjelang tiba,” tegasnya.

Hajiji menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya kepada Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Haji Muhammad Ruzelme Haji Ahmad Fahimy pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih-muih untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan menjelang aidilfitri.
Beliau berharap lebih banyak lagi agensi kerajaan termasuklah GLC dan NGO tampil untuk menghulurkan sumbangan pada masa akan datang.































