Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Aminah Samsudin Mohd (dua dari kiri) memotong kek sempena Hari RTM Ke-77 sambil diperhatikan Samin (dua dari kanan).
KOTA KINABALU: Hari Terbuka Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) Kampus Bandaraya Sembulan akan berlangsung dua hari mulai Khamis depan.
Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki berkata para ibu bapa serta pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) harus memanfaatkan hari terbuka tersebut yang disusun dengan pelbagai aktiviti menarik dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
“Antara aktiviti menarik yang akan dijalankan termasuk peluang pembiayaan pembelajaran, campus tour, lucky draw, taklimat mengenai program serta kursus yang ditawarkan.
“Pengisian utama adalah pendaftaran secara walk-in untuk pengambilan pelajar-pelajar baharu sesi kemasukan Julai dan Ogos nanti.
“Paling menarik, kita akan memberikan diskaun RM50 untuk 30 pelajar pertama mendaftar setiap hari,” dedahnya.
Jelas Samin, kolej yang merupakan institusi pengajian tinggi swasta milik Yayasan Sabah itu menetapkan tiga dan lima kepujian mata pelajaran masing-masing bagi program diploma dan Program Asasi Sains (FIS) di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan Program Dwi-Ijazah berteraskan kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan beberapa universiti di Jerman dan di Beijing, China.
“Syarat bagi program diploma ialah lulus SPM atau SPMV dengan tiga kepujian dalam mana-mana mata pelajaran serta lulus Bahasa Melayu dan Matematik.
“Manakala FIS meletakkan syarat lima kepujian dalam SPM atau SPMV termasuk Matematik dan dua mata pelajaran Sains serta lulus Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
“Oleh itu, para pelajar yang berminat serta layak, digalakkan hadir dan mendaftar kursus yang diminati secara terus di kaunter yang disediakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar KTYS Bersama Media di sini.
Menurut beliau, majlis berkenaan bertujuan untuk menghargai peranan para pengamal media dalam pembangunan pendidikan di Sabah termasuk mempromosi kejayaan institusi terbabit.
Mengenai pencapaian terbaik pelajar, Samin memaklumkan, Alumni Program Asasi Sains KTYS, Joel Marianus Mukui berjaya menamatkan pengajian di Hochschule Reutlingen University, Jerman dengan kelulusan Bachelor of Science – International Operations and Logistics Management.
Tambahnya, KTYS juga akan menjalankan program khas persediaan ke Timur Tengah yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah selama lima bulan untuk 30 orang anak-anak tempatan yang berminat.































