Mohd Reonell menerima sumbangan daripada Arifin, sambil diperhatikan bapa, Jaimol (kanan) dan adiknya, Nurshilah.
MEMBAKUT: Telekom Malaysia Berhad (TM) komited membimbing golongan peniaga kecil ke arah mewujudkan usahawan digital.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif yang juga ADUN Membakut berkata beliau menyambut baik inisiatif tersebut dan berharap golongan peniaga kecil di kawasan Membakut dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
“Kita berterima kasih atas komitmen TM untuk membantu peniaga kecil di Membakut ini khususnya dalam membimbing mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Untuk tujuan ini, kita akan mengadakan kerjasama di antara TM dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk menyelaras program dalam bidang perniagaan online,” jelas beliau.
Selaku Exco Komunikasi Negeri Sabah, Arifin memaklumkan selain Membakut, TM juga akan melaksanakan beberapa program di seluruh negeri ini selaras dengan misi menjadikan Sabah antara negeri yang mendapat liputan menyeluruh menjelang tahun 2024.
“Selepas pertemuan saya dengan Menteri Komunikasi dan Digital baru-baru ini, kita dapati beliau seorang yang komited dan telah mengarahkan agensi-agensi berkenaan untuk mengambil tindakan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau khususnya dalam kita sama-sama memastikan Sabah mendapat liputan menyeluruh dalam tahun 2024.
“Yang sangat penting ialah kita berjaya mencapai sasaran 90 peratus ke atas dan saya yakin dengan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital yang mana Sabah kini mencapai 86 peratus liputan,” dedahnya.
Malah, beliau optimis sebahagian besar Sabah akan berjaya mendapat liputan dan nikmat pendigitalan akan memberi manfaat kepada para pelajar, golongan usahawan serta masyarakat juga mudah memperoleh maklumat sahih.
Arifin ditemui media dalam Majlis Cahaya Ramadhan Setulus Ikhlas Yayasan TM di Dewan Sri Wawasan Kg Pimping, pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, beliau diiringi Pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin dan Penolong Pegawai Daerah, Ibrahim Terki menyampaikan sumbangan Yayasan TM kepada 137 anak yatim.
Sementara itu, adik beradik kembar, Syahramdhan Mohd Noh dan Syarifah Qistina Mohd Noh, 15, yang kini menuntut di SMK Membakut 1 berazam untuk lebih tekun dalam dalam pelajaran.
“Terima kasih kepada TM. Ini adalah kali pertama kami mendapat sumbangan dan menjadi pembakar semangat untuk kami lebih tekun belajar seperti kata Datuk Arifin yatim bukan penghalang untuk berjaya,” kata Syahramdhan.
Turut lega, bapa kepada dua anak, Jaimol (bukan nama sebenar) dari Kg Sinoko yang terkesan dengan peningkatan harga peralatan sekolah bagi Nurshilah Azira, 7, pelajar Tahun 1 SK Sinoko dan Mohd Reonell, 6, pelajar SK Kogopon.
“Terima kasih kepada TM yang memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban terutama ibu bapa yang kurang kemampuan,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.





























