Herwan (kiri) mengiringi Arifin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Syarikat Adabi.
MEMBAKUT: Sepuluh periuk bubur lambuk dengan bakul makanan diagih kepada 170 penerima yang kurang berkemampuan.
Agihan disempurnakan oleh Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif dalam Program Memasak dan Sedekah Bubur Lambuk dan Kasih Ramadan.
Menurut Arifin yang juga ADUN Membakut, program anjuran Masjid Cahaya Iman Membakut dengan kerjasama Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd. itu bertujuan memberi bantuan dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut Ramadan dan Syawal.
“Program ini julung-julung kali diadakan bukan sahaja untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan masyarakat, bahkan juga untuk memberi sumbangan kepada 150 penerima dan 20 pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan melalui sumbangan derma daripada pihak korporat, NGO dan orang perseorangan.
“Oleh itu, saya mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak korporat dan para dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Membakut.
“Terima kasih di atas keprihatinan dan sikap mengambil endah kepada mereka yang kurang berkemampuan dan semua pihak terlibat menjayakan program murni ini,” katanya di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Cahaya Iman Membakut, Herwan Harun memaklumkan program berkenaan dijayakan oleh sukarelawan Persatuan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Membakut II, Kelab Kriket SMK St. Patrick, Persatuan Alumni SMK Membakut, AJK Muslimat Surau Kg Sungai Damit dan Persatuan Komuniti Pelancongan Binsulok.
Jelas beliau, antara penyumbang adalah Yayasan Sime Darby, Islamic Relief Malaysia, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Syarikat Sazarice Sdn Bhd, Sabah Oil and Gas Corporation, Kumpulan Sawit Kinabalu, Desa Group Of Companies dan banyak lagi.
Sementara itu, para penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dari Kg Baitam, Kg Bambangan, Kg Bawan, Kg Binsulok Likas, Kg Brunei, Kg Madang, Kg Mandangin, Kg Mawao, Kg Pimping, Kg Pusak, Kg Paung Maragang, Kg Pinopok/ Tamalang, Kg Sinoko, Kg Sungai Damit, Kg Tahak dan Kg Tiong.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah, Ibrahim Terki; Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar serta wakil-wakil penyumbang.





























