Pasukan bomba membawa mangsa uang dijumpai selamat keluar untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Ihsan Bomba
TAMBUNAN: Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di Kampung Kituntul, di sini, sejak pagi Jumaat lalu telah dijumpai hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Desmond Ak Micky @ Dominic berkata, mangsa berusia 39 tahun itu dijumpai selamat oleh pasukan bomba bersama agensi lain pada jam 12:31 tengah hari 15 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurutnya, sepasukan empat anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Linus John telah ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 10.40 pagi menerusi talian balai.
Selepas dijumpai, pasukan bomba kemudiannya membawa mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut, katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 1 petang.
Menurut pengadu, mangsa iaitu seorang kelainan upaya (OKU) disedari hilang pada 24 Mac jam 9 pagi di kawasan kebun berhampiran rumah mangsa.





























