Mayat mangsa dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Lelaki warga Filipina yang bertindak terjun dari sebuah feri di Pelabuhan Karamunting di sini petang 15 Mac ditemukan lemas pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, SAR hari kedua hari ini melaporkan mangsa, Razmel Abdul Rahim, 31 telah dijumpai oleh Pasukan Polis Marin pada jam 8.39 pagi.
Katanya, mangsa ditemukan di lokasi jeti kedua Karamunting iaitu 600 meter dari lokasi mangsa terjun.
Pasukan bomba bersama pasukan polis mengambil mayat mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa dilaporkan hilang di laut selepas terjun dari sebuah feri di Pelabuhan Karamunting, di sini, petang 15 Mac.
BBP Sandakan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan melalui talian balai pada jam 10.09 pagi kelmarin dan sepasukan sembilan anggota diketuai oleh Pemangku Ketua BBP Sandakan, PPgB Suriyadi Darwis bergegas ke lokasi itu.
Menurut saksi di lokasi kejadian iaitu pengurus kapal, semasa feri memulakan perjalanan ke Filipina terdapat seorang lelaki warga Filipina bernama Razmel Abdul Rahim secara tiba-tiba terjun ke dalam laut melalui tingkap tingkat empat feri pada jam 6.45 petang kelmarin.
Pengurus kapal itu kemudiannya menghubungi IPD Sandakan pada jam 8 malam kelmarin.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian melakukan operasi pencarian melalui kaedah surface searching.





























