Keadaan kereta yang terbakar selepas bertembung dengan sebuah kenderaan yang lain. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Sebuah kereta terbakar selepas bertembung dengan sebuah kenderaan lain di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Jalan Iramanis, dekat Starbuck Iramanis, pada kira-kira jam 12.34 pagi tadi.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan seramai 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Laupen Nuar dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang terbakar 100 peratus di bahagian enjin.

“Kejadian berpunca daripada pertembungan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris.
“Terdapat dua mangsa tetapi mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, sambil menambah tiada maklumat mangsa diperolehi.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose reel jentera dan sumber air didapati daripada tangki jentera.
“Kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi terkawal pada jam 1.18 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.03 pagi,” katanya.





























