Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini pagi tadi.
Kejadian itu berlaku di Jalan Tunku Kampung Sri Hak pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam jam 12.25 tengah hari dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohamud Punya dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 70 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Persona bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat. Seorang mangsa, Mohamad Ishak Aliuddin, 51 tersepit di dalam Proton Persona namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa yang merupakan penumpang Proton Persona mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya, sambil menambah pemandu Toyota Hilux Vigo dilaporkan selamat.
Operasi ditamatkan pada jam 2.46 petang.





























