Elron (empat dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas PKLS Tokoh Budaya kepada Ricky (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Ruslan (kiri), Yusof (dua dari kanan), Matbali (empat dari kiri) dan Rubin (dua dari kiri).
SIPITANG: Seni dan budaya merupakan aset penting bagi sesuatu kaum dan harus dipelihara dan dilindungi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, budaya yang menjadi identiti sesuatu kaum akan pupus sekiranya usaha mengekalkan serta mewariskannya kepada generasi muda tidak dilaksanakan.
“Identiti yang tidak dipelihara dan dilindungi dengan betul akan dicemari oleh unsur lain, sehingga menyebabkan kepupusan nilai jati budaya yang berharga.
“Kita juga mahu supaya identiti ini diwarisi oleh generasi muda, supaya mereka juga berasa lebih bertanggungjawab untuk memelihara identiti suku kaum masing-masing.
“Oleh itu, kita perlu melindungi budaya dan kesenian semua kaum sebagai khazanah yang bernilai tinggi supaya ia dapat dilestarikan sebagai salah satu warisan negara,” katanya pada Majlis Perasmian Irau Rayeh Lundayeh Sabah ke-15 Tahun 2023 yang diadakan di di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), di sini, Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin
Jelas Hajiji, selaras dengan tema,”Inovasi Dijana, Tradisi Dipelihara”, Irau Rayeh Lundayeh Sabah merupakan wadah terbaik untuk mendedahkan seni dan kebudayaan kepada generasi muda, termasuklah masyarakat dari luar Sabah.
“Melalui aktiviti kebudayaan seumpama ini, akan membolehkan para pelancong luar memahami dan mengenali budaya tempatan negeri ini, khususnya suku kaum Lundayeh,” tambah beliau.
Pada majlis itu, Ellron menyampaikan Anugerah Khas PKLS turut diadakan kepada tiga penerima iaitu Kategori Tokoh Budaya, Ricky Yakub Ganang, Petani Inovatif, Pangiran Salutan dan Kategori Sukarelawan Lundayeh, Datu Purud.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, Datuk Pangiran Lalung, Bupati Kabupaten Malinau, Kalimantan, Bapak Wempi W. Mawa, Presiden Persatuan Murut Sabah dan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad dan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob.































