Hajiji (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Jelajah Buskers sempena sambutan Hari Antidadah 2023 peringkat negeri di Kota Kinabalu hari ini
KOTA KINABALU: Penyertaan tujuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Parti Warisan (Warisan) ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah pun diterima.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Hajiji berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak ke dalam Gagasan Rakyat.
“Itu hak mereka untuk menentukan pendirian dan masa depan politik mereka jadi, bagi saya, kita mengalu-alukan penyertaan mereka.
“Kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu serta usaha untuk memajukan negeri dan memberi khidmat kepada rakyat terutama di kawasan masing-masing,” katanya.
Empat bekas ADUN UMNO yang mengumumkan keluar parti bagi menyertai Gagasan Rakyat ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung).
Sementara itu, tiga bekas ADUN Warisan yang menyertai Gagasan Rakyat ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Selepas itu, dua lagi ADUN Warisan keluar parti bagi menyertai Gagasan Rakyat dan mereka ialah Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) dan George Hiew Vun Zin (Karamunting).































