Dr. Maximus Ongkili
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) kini adalah sebuah parti yang lebih matang, kerana memiliki ahli-ahli yang cekal hati, tahan lasak, berwawasan dan berintegriti.
Presiden PBS, Datuk Ssri Dr. Maximus Ongkili berkata, pengalaman lalu mendewasakan parti tersebut.
Menyingkap sejarah perjuangan PBS, beliau berkata, PBS sememangnya sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran, sejak dari awal penubuhan parti ini pada tahun 1985.
“Ujian demi ujian, and along the way, beberapa pemimpin dan ahli kita tersasar dari landasan perjuangan PBS. Namun, saya amat berbangga dengan anda semua kerana walaupun berdepan dengan cabaran, anda masih percaya dengan asas perjuangan parti keramat kita ini. Di saat suka dan duka kita bersama, kita menangis dan ketawa bersama. Bak kata pepatah, kita bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
“Tapi walaupun dalam keadaan senang, kita tidak boleh leka. We cannot take things for granted. We cannot be too complacent. Ujian dahulu seharusnya mengajar kita untuk lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang bakal mendatang. Yang baik kita jadikan teladan, yang jahat jadikan sempadan.
“Buat anda yang masih bersama sehingga kini, anda adalah tunjang kekuatan PBS yang menjadi saksi betapa hebatnya parti kita untuk kekal relevan hingga kehari ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di ITCC Penampang, di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden PBS.
Turut hadir Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian, serta para pemimpin lain.





























