Pasukan Hazmat melakukan pemeriksaan terhadap tumpahan bahan kimia dalam ruang kargo sebuah kapal terbang di KKIA petang tadi. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terpaksa dipanggil apabila tumpahan bahan kimia yang boleh memudaratkan dikesan dalam ruang kargo sebuah kapal terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian itu berlaku pada jam lebih kurang 3 petang.
“Panggilan diterima melalui talian balai pada jam 3.22 petang dan sepasukan anggota seramai sembilan orang diketuai Pegawai Operasi, PPgB Mohammad Hannis Moktar dikejarkan ke lokasi itu.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP, didapati benar terdapat tumpahan cecair dalam ruang kargo kapal terbang.
“Pasukan Hazmat lengkap dengan peralatan pelindung diri (PPE) memeriksa kawasan tumpahan dan mendapatkan Helaian Data Keselamatan Bahan (MSDS) bahan kimia tersebut. Didapati bahan kimia tersebut ialah ‘vinyl ester resin’ yang telah tumpah anggaran empat liter,” katanya.
Ordine berkata, setelah dikenalpasti, pasukan Hazmat menasihati staf dan jurutera syarikat penerbangan berkenaan untuk membuat proses pembersihan di kawasan tumpahan.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.58 petang,” katanya.





























