Mangsa yang rentung ditemukan di bahagian dapur rumah yang musnah itu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABATANGAN: Seorang lelaki warga emas berumur 84 tahun rentung dalam satu kebakaran rumah yang berlaku dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, kejadian berlaku di Kampung Pauh, Jalan Setampin 9 Blok 82, di sini, pada jam 1 petang.
“Kita mendapat panggilan melalui talian kecemasan MERS999 dan sepasukan seramai lapan anggota diketuai saya sendiri telah ke lokasi yang terletak 82 kilometer dari balai.
“Setiba di sana, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×20 kaki terbakar 100 peratus dan melibatkan seorang mangsa rentung berada di bahagian dapur rumah,” katanya.
Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan menggunakan pam angkut dengan sumber air dari air terbuka (kolam).
Nurul Azlan berkata, tiada litupan Government Integrated Radio Network (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian dan pasukan bomba terpaksa menggunakan kenderaan utiliti ke lokasi kejadian kerana laluan yang berlumpur dan berlubang serta melalui sebuah jambatan kayu.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kebakaran dilaporkan terkawal pada jam 2.35 petang.





























