PETALING JAYA: Program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti terima peruntukan hampir RM400 juta dalam Belanjawan 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menumpukan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum.
Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.
“Sebanyak RM20 juta disediakan bagi program tersebut. Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.
“Berhubung atlet sukan negara, kerajaan akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para melalui penyediaan dana berjumlah RM324 juta.
“Peruntukan ini antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet pula, dana sebanyak RM5 juta disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun 2023.
Kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara.





























