Seren Ay Çetin (kanan) menewaskan Eva Voraberger dari Austria, juara dunia WBC dua kali dalam pertarungan bagi memenangi WBC Silver Bantamweight Majlis Tinju Dunia, dalam perlawanan yang diadakan di Dewan Sukan Caferağa di Istanbul, Turkiye, tahun lalu.
ISTANBUL: Peninju wanita Turkiye yang memenangi gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) 2022 Seren Ay Cetin, sanggup melelong tali pinggang kejohanannya bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
Menurut Utusan Malaysia, Al Jazeera melaporkan, dalam satu ciapan Twitter, Seren, 26, berkata, dia akan meletakkan tali pinggang gelaran WBC Silver Bantamweight miliknya pada satu acara lelongan.
Dia berharap dapat menjualnya pada harga sekurang-kurangnya satu juta Lira Turkiye atau AS$53,000 (RM234,764).
Dia berjanji untuk memberikan semua hasil jualan itu kepada Ahbap, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Turkiye yang membantu mangsa-mangsa gempa bumi.
Seren ialah petinju wanita Turkiye pertama memenangi gelaran WBC selepas menewaskan Eva Voraberger dari Austria, juara dunia WBC dua kali, dalam pertarungan yang diadakan Mei lalu di Istanbul.































