Keadaan lori yang terbakar itu. – Ihsan bomba
RANAU: Sebuah lori dua tan milik kontraktor tempatan yang terbakar di sini pada tengah hari kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku di belakang pasar malam bandar itu, belakang kedai Mr DIY, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
“Kami menerima panggilan melalui talian balai pada jam 12.47 tengah hari mengenai kejadian itu dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Waslie Saupin dikejarkan ke lokasi itu.
“Setiba di tempat kejadian, didapati berlaku kejadian kebakaran membabitkan sebuah lori dua tan yang membawa muatan satu unit janakuasa yang hangus sepenuhnya.
“Tindakan Bomba memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos air sepanjang 100 kaki dari jentera FRT,” katanya.
Riidwan berkata, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan operasi berjaya dikawal pada jam 1.10 tengah hari.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 1.15 tengah hari,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin terhadap isu keselamatan termasuk kebakaran terutama ketika musim panas dan kering ketika ini.





























