Dr. Dionysia, Hasliza dan Aliff menandatangani LoU di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menandatangani Surat Persefahaman (LoU) dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV) berkenaan pengaturan Back-In Option Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Blok SB409.
Dengan termeterainya LoU itu, Kerajaan Negeri Sabah melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn Bhd (SMJSB) akan ditawarkan Back-In Option sehingga 20 peratus faedah penyertaan, yang boleh dilaksanakan setelah selesai komitmen kerja atau penemuan komersial, yang mana lebih awal.
Terletak di luar pesisir Barat Daya Sabah seluas 14,556 km persegi, Blok SB409 telah dianugerahkan kepada PCSB dan EPMV oleh Petronas semasa Pusingan Pembidaan Malaysia (MBR) 2022.
LoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Hasliza Othman dan Ketua EPMV, Aliff Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Petronas, Mohamed Firouz Asnan menyampaikan cenderahati kepada Dr. Dionysia
LoU itu merupakan pencapaian terbaru Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 7 Disember 2021.
CCA membolehkan Kerajaan Negeri Sabah menerusi SMJSB untuk meningkatkan perkongsian hasil dan mempunyai penyertaan serta pengaruh lebih besar dalam pengeluaran minyak dan gas, serta rantaian nilainya di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah memberi jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah termasuk di luar pesisir dan darat, sambil menambah adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri bahawa Sabah mendapat lebih banyak daripada pengeluaran minyak dan gasnya.
Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan lebih banyak pengaturan dengan Petronas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.



























