PENAMPANG: Beberapa kampung di daerah ini dilaporkan dinaiki air semalam berikutan hujan lebat yang turun sejak petang.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick yang berada di Kuala Lumpur telah mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Parlimen Penampang membantu petugas Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang untuk menangani situasi semasa banjir di daerah tersebut.
“Saya baru berhubung dengan Pegawai Daerah Penampang (Francis Chong) mengenai situasi semasa banjir di Penampang.
“Pegawai Daerah telah mengisytiharkan berlakunya bencana banjir dan Bilik Gerakan Bencana telah diaktifkan. Semua petugas jabatan telah diminta bertugas sesuai dengan tugas dan jadual yang ditetapkan.
“Pusat pemindahan sementara juga dibuka mengikut keperluan dan operasi pemindahan mangsa banjir di lapangan juga dilakukan.
“Oleh kerana saya berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen, saya telah meminta semua pegawai pejabat Menteri saya yang berada di Sabah dan urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang untuk membantu pusat bencana daerah,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu dalam satu kenyataan malam tadi.
Ewon berkata, beliau akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa daripada Pegawai Daerah dan agensi-agensi berkaitan bagi memantau bencana banjir di Penampang.
“Saya meminta semua penduduk mengambil langkah-langkah keselamatan sepanjang bencana dan cuaca hujan lebat ini,” katanya.





























