Leonard (duduk kiri) ketika menjawab soalan daripada DJ radio SabahFM sambil ditemani Cyril (duduk dua dari kiri).
KOTA KINABALU: Purata penumpang keretapi kini mencecah 1,500 dalam sehari, kata Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard Stephen Poyong.
“Jumlah ini meningkat dari 500 orang penumpang semasa pandemik Covid-19 kepada 1,300 hingga 1,500 penumpang sehari.
“Peningkatan ini disebabkan usaha kita yang telah menggunakan keretapi-keretapi baharu dan selesa kepada penumpang.
“Selain daripada itu, kita juga berusaha memastikan kadar gangguan perjalanan diminimakan yang disebabkan oleh kerosakan jentera dan landasan.
“Oleh itu, pihak JKNS pada ketika ini turut menyediakan kepala keretapi dan gerabak penumpang simpanan yang sedia digunakan apabila berlaku kerosakan jentera yang ditempatkan di beberapa stesen seperti Tanjung Aru dan Beaufort bagi mengganti gerabak keretapi yang rosak secara segera.
“Ini merupakan salah satu kaedah yang digunapakai JKNS bagi meminimumkan gangguan perjalanan keretapi di negeri ini,” jelasnya ketika menjadi tetamu lintas langsung sempena Program Mangayau Ging Bubut Bersama JKNS Sempena Sambutan Hari Radio Sedunia di Stesen Keretapi Tanjung Aru, pada Isnin.
Tambah beliau, usaha tersebut telah berjaya meningkatkan kepercayaan penduduk sekitar jajaran landasan sejauh 140 kilometer bermula dari Stesen Keretapi Sembulan ke Tenom yang memilih perkhidmatan berkenaan sebagai pengangkutan awam.
Hadri sama, Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan TV Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Ts Cyril Simon.





























