Arifin (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Shifang (dua dari kanan), Zainudin (kiri) dan Maria (kanan).
KOTA KINABALU: Bertemakan “Alami Inovasi Berilhamkan Sains”, China akan mengadakan pameran di Sabah pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata pamrean tersebut akan dimuktamadkan selepas pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan negeri dengan China untuk tempoh satu hingga tiga tahun.”
Ini sangat baik untuk kita kerana kita pun tahu bahawa China sangat ke depan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Bahan pameran akan dibawa ke Sabah setelah kita selesai membuat perbincangan dan perjanjian dan antara bahannya termasuklah 50 bahan sains dan teknologi yang kita akan letak di Perpustakaan di Tanjung Aru.
“Ini sangat penting dan baik untuk masyarakat dan semoga dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan pelajar di Sabah,” katanya.
Tambah Arifin, pihaknya turut mempertimbangkan untuk membawa pameran berkenaan ke luar daerah Kota Kinabalu seperti Tawau dan Sandakan bagi menarik minat masyarakat mendekati dan mendalami bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Kita juga bercadang untuk menempatkan kubah planetarium yang berketinggian 6 meter dan memerlukan keluasan di antara 9,000 hingga 10,000 kaki persegi untuk membolehkan kita melihat simulasi ruang angkasa.
“Dengan itu, kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada China yang sudi berkolaborasi dengan kementerian ini,” jelasnya selepas menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Huang Shifang di pejabatnya, pada Isnin. Hadir sama Setiausaha Tetap, Datuk Zainudin Aman dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Maria Chong.































