Operasi SAR yang telah dijalankan oleh pasukan bomba. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina yang terjun ke laut untuk melarikan diri daripada ditangkap polis Jumaat ditemukan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa ditemui pada jam 9.48 malam tadi oleh orang awam yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa sendiri.
Terdahulu pada Jumaat lepas, mnagsa dilaporkan melarikan diri dari ditangkap polis selepas dikatakan bergaduh di Kampung Pukat Pasir Putih di sini.
“Balai dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.57 pagi kelmarin dan sepasukan penyelamat seramai 11 orang bersama dengan sebuah van EMRS, sebuah van, sebuah Hilux dan sebuah bot dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi yang terletak 15 kilometer dari balai itu, pasukan yang diketuai Komander Operasi, PBK II Alan Ayuh dan disertai tiga orang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) diberitahu terdapat seorang mangsa lelaki dikhuatiri lemas di laut.
“Menurut maklumat dari pihak polis mangsa warga Filipina yang berumur 18 tahun itu telah terjun ke laut pada 10 Februari untuk melarikan diri dari pihak polis. Pada mulanya operasi pencarian telah dijalankan oleh pihak Maritim lebih kurang sejam tetapi mangsa belum ditemui,” katanya.
Menurut Nor Azizi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Surface Rescue.































