Sylvia bersama Chin, Mally, Sister Jane dan sebahagian daripada pelajar perempuan Asrama San Damiano, Kiulu.
KOTA KINABALU: Seramai 68 pelajar perempuan Asrama San Damiano, Kiulu mendapat perhatian daripada syarikat pengeluar makanan terkemuka, Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau telah menghulurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan seperti beras, biskut, roti bun dan sabun pencuci pakaian kepada para pelajar tersebut.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar KTC, Sylvia Pius Laban pada Khamis.
Lau berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan para pelajar itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Warden Asrama, Sister Jane Sandalun menyambut baik sumbangan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Lau yang begitu prihatin dan mengambil berat kebajikan pelajar asrama berkenaan.
Menurut Sr Jane, kebanyakan pelajar asrama itu berusia antara 13-17 tahun dan mereka mula tinggal di asrama ketika memasuki tingkatan satu sehingga tamat persekolahan.
Hadir sama ialah ahli kariah gereja Church of Mary Immaculate (CMI), Datuk Teddy Chin bersama isteri, Datin Mally.































