Gutoyoh menunjukkan laporan polis dan salinan artikel yang mendakwa Bung Moktar berjudi
KOTA KINABALU: Satu laporan polis telah dibuat memohon siasatan dilakukan terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang didakwa berjudi semasa perayaan Tahun Baharu Cina lalu.
Laporan polis tersebut dibuat oleh bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Gutoyoh @ Justin Ubit di Balai Polis Tuaran, Tuaran, Rabu.
Gutoyoh berkata, beliau terlihat suatu artikel bertajuk “Gambar Bung Moktar bekas TKM Sabah berjudi dengan banyak cip RM50,000, RM10,000 tular” dalam sebuah portal baru-baru ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa harus menyiasat dakwaan tersebut memandangkan status Bung sebagai seorang pemimpin negeri yang berjudi secara terbuka.
Gutoyoh, 62, turut meminta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Dalam laporan polis tersebut, Gutoyoh juga mengepilkan salinan artikel portal yang memuatkan gambar Bung sedang berjudi.





























