Riduan Rubin
TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menyokong penuh hasrat dan cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), untuk mewujudkan pusat dialisis di daerah-daerah yang mempunyai bilangan pesakit buah pinggang yang tinggi, termasuk di Tenom.
“Saya selalu menerima aduan dan keluhan daripada warga Tenom yang sukar mendapatkan rawatan dialisis di daerah Tenom, yang berpunca daripada mesin rawatan sedia ada di Hospital Daerah Tenom tidak dapat menampung permintaan yang begitu ramai di daerah ini.
“Memandangkan daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis (tiga hari rawatan dalam seminggu), namun akibat kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan telah menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya.
“Kekangan itu telah menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang terpaksa ke Hospital Keningau, mahupun klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan itu. Namun dengan kos rawatan yang sangat tinggi sehingga pesakit perlu membayar sebanyak RM200 untuk satu sesi sahaja, amat membebankan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka.
“Malah yang lebih teruk lagi ialah apabila pesakit buah pinggang tidak meneruskan rawatan akibat kekangan dan masalah kewangan sehingga mereka menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Riduan berkata, beliau sedia memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan membantu sedaya yang mungkin agar sebuah pusat dialisis dapat segera diwujudkan di Tenom.
“Hasil pertemuan saya dengan Datuk James Ratib semasa menghadiri Majlis Hari Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri, Stanley Chong baru-baru ini, beliau (Datuk James Ratib) telah bersetuju secara dasarnya agar Tenom diberikan keutamaan untuk mewujudkan pusat dialisis pertama di ibawah Kementerian beliau.
“Saya berharap usaha ke arah mewujudkan pusat dialisis oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat di Tenom dapat disegerakan, demi rakyat dan pesakit yang amat memerlukan rawatan hemodialisis,” katanya, sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada James yang peka dan tuntas menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di Tenom.





























