Mangsa bersedia untuk dihantar ke hospital.
RANAU: Seorang pendaki wanita tempatan terpaksa dibawa turun dari Laban Rata, Gunung Kinabalu selepas mengalami sakit perut pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Laban Rata, suatu kawasan perkemahan berbangunan pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut, pada kira-kira jam 2.50 pagi.
“Kita menerima panggilan berkenaan insiden itu melalui talian balai dan satu Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Nickson Juni dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang pendaki wanita berusia 35 tahun mengalami sakit perut.
“Pasukan Mosar bersama anggota Taman-Taman Sabah serta Malim Gunung melakukan pemeriksaan dan rawatan awal kepada mangsa,” katanya.
Selepas itu tambahnya, mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan teknik ‘piggy back carry’ dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.42 pagi,” jelas beliau.





























