James (tengah) merakamkan gambar dalam Sambutan Hari Keluarga Peringkat KPMKR
KOTA KINABALU: Sabah menghasilkan inovasi pek makanan segera yang pertama di Malaysia khusus untuk mangsa bencana.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata pek makanan tersebut merupakan inovasi kementeriannya menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sebagai salah satu strategi mendepani bencana di negeri ini.
“Ini adalah inovasi kementerian saya iaitu pek makanan segera menggunakan teknologi retort, tanpa sebarang bahan pengawet atau pewarna yang dihasilkan oleh JPKA Sabah.
“Pek ini mempunyai tiga menu iaitu kurma daging dan kentang, daging gulai kawah dan daging masak hitam yang masing-masing dilengkapi dengan nasi putih.
“Untuk pek ini sangat mudah, cepat dan berkhasiat hanya buka dan tuang air ke dalamnya dalam masa 12 hingga 15 minit dia akan masak dan sedia untuk dimakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut persiapan kementerian itu, ujar James, pihaknya kini telah bersiap siaga dan akan memperuntukan sehingga 300 pek di setiap daerah yang berpotensi dilanda bencana.
“Ini adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pertama bagi kementerian dan ia menunjukkan bahawa kita telah bersiap siaga menghadapi bencana.
“Apabila berlaku bencana, pek makanan inilah yang akan kita edarkan di pusat-pusat pemindahan sementara kepada para mangsa serta semua petugas, sebelum makanan sampai kerana ia mudah, cepat dan berkhasiat.
“Setakat ini, kita memperuntukkan 200 hingga 300 pek makanan ke setiap daerah yang dilanda bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Peringkat KPMKR di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapannya, James yang dilantik ke jawatan terbabit sejak 11 Januari lalu, berharap warga kementeriannya dapat memberikan kerjasama dan meneruskan momentum kecemerlangan khususnya program di bawah “Sabah Maju Jaya” (SMJ).
“Saya dimaklumkan bahawa pencapaian program-program berimpak tinggi SMJ iaitu Program Homeward, Pusat Perkembangan Kanak-kanak (PPKK) dan JHEWAnita setakat Disember 2022 adalah melebihi jumlah sasaran yang ditetapkan.
“Saya dimaklumkan juga bahawa semua inisiatif SMJ di bawah kementerian ini telah dilaksanakan sepenuhnya bagi tahun 2022 dan sebahagian besarnya melebihi sasaran yang ditetapkan,” tambah beliau.



























