Jonathan, Armizan, Khairul dan Matbali
PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan tiada kekosongan empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ekoran tindakan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.
Empat wakil rakyat terlibat adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang diterima Bersatu semalam.
Sebelum ini, Bersatu Sabah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan empat ahli Parlimen itu yang bertanding PRU15 di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka bagi memastikan telah berlakunya kekosongan luar jangka menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 10 Disember 2022, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuat kenyataan menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah termasuk empat Parlimen telah keluar daripada parti.
Dalam pada itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan, pihaknya akan merujuk mahkamah berhubung keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipercayai terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu apabila memutuskan bahawa tiada kekosongan berlaku menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan memberi alasan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


























