Dr. Joachim (tengah) menerima jemputan daripada Romeo (dua kiri), sambil disaksikan beberapa wakil pihak penganjur.
TUARAN: Kejohanan Bola Tampar Pantai Piala Presiden PBS 2026 sempena Persidangan Perwakilan Tahunan (AGM) Parti Bersatu Sabah (PBS) Kali Ke-41 akan berlangsung selama tiga hari, bermula 18 hingga 20 September 2026.
Kejohanan julung kali diadakan di Sabah itu dianjurkan bersama oleh PBS Bahagian N.13 Pantai Dalit dan PBS Bahagian N.12 Sulaman, bertempat di Gelanggang Bola Tampar Timpalang Riverside Cafe, Jalan Pertanian, Kampung Marabahai, Tuaran.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 19 September 2026, jam 10 pagi dan akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti yang juga Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Bahagian PBS Pantai Dalit, Romeo Sindeh berkata, kejohanan itu membuka penyertaan kepada pasukan lelaki dan wanita dari seluruh Sabah, selain turut menerima penyertaan pasukan jemputan dari luar negara.
“Setakat ini, kira-kira 12 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita telah mendaftar untuk menyertai kejohanan ini.
“Pasukan-pasukan bertanding bakal merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM7,500 berserta piala pusingan,” katanya.
Selain aksi bola tampar pantai, pelbagai aktiviti turut disusun bagi memeriahkan program sepanjang tiga hari berkenaan.
Pada malam 18 September, para pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan muzik secara langsung oleh kumpulan Soul Legacy, manakala Pertandingan Karaoke akan diadakan pada 19 September.
Gerai jualan makanan dan minuman turut dibuka sepanjang kejohanan, selain acara cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah televisyen LED berukuran 75 inci.
Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan pertandingan serta bersama-sama memeriahkan Kejohanan Bola Tampar Pantai Piala Presiden PBS 2026 yang julung kali dianjurkan di Sabah.
































