MOSCOW (Bernama-Sputnik/RIA Novosti): Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) sebulat suara meluluskan rang undang-undang yang melarang pengeluaran syiling satu sen secara kekal tanpa kemungkinan ia dikeluarkan semula pada masa depan, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Fox News.
Inisiatif itu melarang Jabatan Perbendaharaan daripada menghasilkan syiling satu sen baharu kecuali syiling untuk tujuan koleksi. Rang undang-undang itu turut memperkenalkan ketetapan bagi transaksi tunai dengan jumlah pembayaran dibundarkan kepada lima sen bagi menghapuskan keperluan menggunakan syiling satu sen, menurut laporan itu.
Selain itu, rang undang-undang berkenaan turut melibatkan pengeluaran syiling lima sen dengan membenarkan syiling itu dihasilkan menggunakan bahan yang lebih murah.
Fox News melaporkan syiling satu sen yang sudah berada dalam edaran akan kekal sebagai wang sah.
Pengeluaran syiling satu sen dihentikan pada November 2025 selepas syiling itu berada dalam edaran selama 232 tahun. Jika rang undang-undang baharu itu diluluskan menjadi undang-undang, pentadbiran AS pada masa depan tidak lagi boleh menyambung semula pengeluaran syiling satu sen, menurut laporan itu. — BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
































