Chan (lapan dari kanan) bergambar bersama mereka yang hadir pada acara tersebut.
KOTA KINABALU: Kemampanan Sektor Agromakanan Negara Teras Mengemudi Cabaran Krisis Global iaitu tema amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Haji Mohamad Sabu harus diangkat berdasarkan konteks autonomi Sabah dan Sarawak terutamanya dalam bidang pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin berkata, bagi menyerlahkan potensi terpendam sektor agromakanan negara, kerjasama bersepadu menjadi kunci bagi meningkatkan produktiviti menerusi penerapan teknologi terkini, terutama untuk kedua-dua wilayah ini.
Katanya, kolaborasi strategik antara kementerian di peringkat Persekutuan dan Kerajaan di Sabah dan Sarawak perlu terjalin dengan baik serta harus disokong pelbagai pihak berkepentingan.
Chan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Tahun 2023 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.
Beliau turut menggariskan tiga ruang kerjasama yang boleh diteliti bersama oleh MAFS dan Kerajaan Sabah iaitu menangani cabaran-cabaran yang di hadapai pertanian bandar, pertanian berteknologi tinggi, dan usaha menjadikan pertanian sebagai kerjaya masa depan.
Menurutnya, Kerajaan melalui MAFS juga sentiasa prihatin dengan isu bekalan makanan serta melaksanakan pelbagai langkah intervensi dalam menstabilkan bekalan, selain komited dalam usaha membangunkan potensi sektor pertanian melalui kerjasama kukuh diantara Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Pada tahun 2023 keadaan ekonomi dunia dijangka akan menjadi lebih mencabar di mana krisis tenaga dan keterjaminan makanan menjadi antara ancaman utama ekonomi khususnya bagi negara membangun.
“Prospek sektor agromakanan negara diramal akan berhadapan cabaran khususnya dalam mengekalkan pertumbuhan perdagangan berikutan peningkatan ketidaktentuan geopolitik serta penyusutan eksport negara,” katanya.
Bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara katanya, Kementerian semasa Majlis Amanat yang disampakan oleh Mohamad telah menggariskan lima hala tuju dan fokus utama pada tahun 2023 iaitu yang pertama memperkasakan industri akuakultur dengan menyasarkan peningkatan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur kepada 60 peratus, kedua memperluas penternakan lembu secara fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport supaya sasaran pengeluaran daging tempatan akan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50 peratus daging (SSR) menjelang tahun 2025, ketiga memulakan usaha penanaman jagung bijian (grain corn) bagi mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.
Selain itu, tambahnya, satu perancangan dan tindakan yang tersusun perlu dilakukan segera bagi mencukupkan bekalan makanan dalam negara dan memastikan rakyat mempunyai akses kepada semua jenis nutrien yang diperlukan.
Kementerian juga akan memberi fokus kepada meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan yang kelima memperkasakan institut latihan pertanian dalam misi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pertanian moden selaras dengan hasrat negara dalam membentuk pekerja mahir pertanian.
Bagi mendokong aspirasi hala tuju dan fokus Kementerian ini, Chan berharap sistem penyampaian maklumat terkini kepada orang ramai perlu diwujudkan satu pusat sehenti (One-stop Centre) bagi menempatkan semua agensi dan maklumat berkaitan MAFS di Sabah.
Beliau turut menyeru warga MAFS di Sabah juga diseru untuk meneruskan amalan budaya berintegriti tinggi, amanah dan cekap yang merupakan etika kerja sangat penting kepada pencapaian hasil kerja berkualiti tinggi serta dapat bergerak sebagai satu pasukan bagi melakar lembaran baharu dalam usaha membangunkan potensi Sabah khususnya sebagai hub pertanian negara.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Azah Hanim Ahmad, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Hadriyani Ahmad dan Ketua- ketua agensi di Sabah.































