Shahelmey, Jasnih, James, Dr Yusof dan Arsad
KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah meluahkan rasa terkilan dan kesal kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik. Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar Kerajaan Negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Mereka adalah Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).
“Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang telah berusaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah yang sah. Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
“Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan kami yang tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan,” kata mereka.
Sepertimana juga aspirasi rakyat Sabah, mereka berkata, mereka mahukan kestabilan politik yang telah wujud selama ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.
“Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan.
“Dengan itu, kami sekali lagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” kata mereka.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan dalam satu sidang media bahawa kerjasama di antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbatal.































