Jonathan (tengah) dan lain-lain selepas melakukan kerja-kerja amal membersihkan beberapa rumah di sini.
RANAU: Pejabat Parlimen Ranau telah menangguhkan program mengadakan Sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu bertujuan agar pegawai dan kakitangannya terlibat dalam membantu membersihkan sisa banjir di kampung yang terjejas.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk yang ditimpa musibah yang berlaku berikutan cuaca tidak menentu di daerah ini.
Melihat kepada keadaan mereka yang terkesan dengan kejadian itu, beliau dan Ketua Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda bersama kakitangan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau turut turun padang bersama penduduk bagi membantu dari segi tenaga dan sumbangan keperluan harian kepada keluarga keluarga yang terlibat.
“Kami mengambil inisiatif mengadakan khidmat sukarelawan bersama kakitangan Parlimen bermula Khamis. Kami akan meneruskan bantuan ini pada hari Jumaat di Kg. Marakau dan Kg. Kituntul Lama,” katanya.
Kerja-kerja amal yang sama turut ditunjukkan oleh beberapa pertubuhan dan kumpulan lain seperti kumpulan belia, NGO dan agensi di semua kampung yang terjejas akibat kejadian pada malam Rabu.
Susulan cuaca tidak stabil, beberapa kawasan dilanda banjir menyebabkan segelintir penduduk di kawasan Kundasang dan Ranau kehilangan harta benda seperti rumah, ternakan, kenderaan dan sebagainya apabila kampung dan kawasan pertanian mereka dilanda banjir dan tanah runtuh.
Akibat bencana itu, seramai 48 mangsa telah ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau kelolaan Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kawalan Operasi Bencana Ranau. Pusat (PKOB).
Seramai 48 orang penduduk Kg. Kituntul Lama, Kg. Sinarut Lama, Kg. Marakau dan Kg. Libang telah dipindahkan ke PPS.































