Mangsa yang cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri dan melanggar pagar diberikan rawatan awal. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera parah manakala seorang lagi selamat dalam dua kemalangan berasingan di sini awal pagi tahun baharu.
Kemalangan pertama berlaku di jalan raya sebuah taman perumahan di Sepanggar melibatkan seorang penunggang motosikal jenis Honda Wave yang terbabas sendiri dan melanggar pagar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.11 pagi menerusi talian MERS 999.
Sepasukan anggota bersama jentera diketuai Komander Operasi, PBK II Laupen Nuar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setiba di sana, didapati mangsa seorang lelaki yang berusia 26 tahun mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri.
Pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada keberbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 4.30 pagi.
Selepas itu, pasukan bomba yang sama bergegas ke sebuah taman perumahan di Jalan Kionsom, Inanam, selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia dilaporkan terbabas ke bahu jalan.

Panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 4.39 pagi menerusi talian MERS 999.
Setiba di lokasi kejadian, didapati mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun tidak mengalami kecederaan.
Pasukan bomba memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 5 pagi.































