Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR (Bernama): Tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
“Methamphetamine ini pengambilannya perlu 0.02 gram (g) sahaja, jadi kalau nilai tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang. Tetapi, kalau seseorang itu ambil 0.05 g untuk lagi kick, kesannya masih tinggi melibatkan enam juta orang.
“Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) tentang kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.































