Muhamad Faisal Mohidin
KOTA KINABALU: Tinjauan terhadap reaksi umum dan maklum balas rakyat Sabah menunjukkan sokongan padu terhadap tindakan tegas Kerajaan Negeri dalam melaksanakan penguatkuasaan dan penstrukturan semula kawasan penempatan di Kampung Pondo, sebuah perkampungan setinggan di Pulau Gaya.
Bekas Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri Muhamad Faisal Mohidin berkata majoriti rakyat Sabah sedar bahawa isu keselamatan, kebersihan dan keluhuran undang-undang tidak boleh lagi dikompromi demi masa depan negeri ini.
Beliau berkata ketegasan Kerajaan Negeri melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) penting bagi memastikan perancangan bandar yang teratur, bersih dan selamat.
“Persekitaran ibu negeri yang bebas daripada penempatan tidak terancang adalah asas utama sekiranya kita mahu melihat Sabah melangkah maju setanding dengan negeri-negeri membangun yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Faisal menyokong dan memuji keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri mempertimbangkan penangguhan sementara tindakan perobohan bagi mengambil kira kebajikan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, walaupun status kawasan berkenaan kekal sebagai penempatan setinggan yang tidak dibenarkan dan tindakan undang-undang tetap diteruskan, keprihatinan memastikan masa depan pendidikan anak-anak tempatan tidak terjejas membuktikan kepimpinan yang matang serta berperikemanusiaan.
Faisal berkata semua pihak perlu memberi ruang dan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas bagi memastikan kelancaran agenda pembangunan negeri kini dan masa hadapan.
Beliau turut berpendapat proses penguatkuasaan wajar disusuli saringan teliti bagi memastikan hanya warganegara tempatan yang layak dibantu melalui saluran penempatan semula yang sah, manakala isu penempatan haram ditangani secara tuntas.
“ Kemajuan negeri menuntut keberanian untuk melakukan perubahan demi masa depan generasi akan datang.
“Justeru, suara majoriti rakyat yang mahukan kemajuan wajar dihormati dan isu ini tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga membantutkan usaha Kerajaan memajukan Sabah,” katanya.
































