KOTA KINABALU (Bernama): Pergerakan trafik di Jalan Ranau-Telupid, berhampiran kawasan Sagindai Lama, Ranau perlahan berikutan terdapat kabel elektrik yang merentangi laluan berkenaan susulan insiden menara penghantaran elektrik tumbang hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan laluan itu masih boleh dilalui oleh pengguna jalan raya, namun pergerakan kenderaan perlahan berhampiran kawasan kejadian.
“Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati serta mematuhi papan tanda amaran dan arahan petugas kawalan trafik di kawasan itu.
“JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna jalan raya akibat gangguan berkenaan,” katanya.
Pagi tadi, lapan daerah di Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik selepas menara penghantaran elektrik T313 di Ranau tumbang, dan insiden gangguan bekalan itu dikesan berlaku pada 6.04 pagi.
Daerah terlibat adalah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid dan Kinabatangan. — BERNAMA
































