Mustapha Sakmud
KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pelaksanaan penambahan kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi nisbah perwakilan satu pertiga memandangkan cadangan itu masih memerlukan penelitian perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya selain rundingan dengan pihak berkepentingan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 Sept lepas secara prinsip bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu di Dewan Rakyat selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.
“Cadangan penambahan kerusi memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Rakyat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai garis masa bagi melaksanakan cadangan yang dipersetujui semasa MTPMA63 khasnya berkenaan penambahan kerusi Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga dan mewujudkan formula untuk pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D.
Mustapha berkata pelaksanaan cadangan itu akan dibuat berperingkat bermula dengan penyelarasan dan pemuktamadan mekanisme, diikuti proses perundangan serta pelaksanaan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pindaan Perlembagaan dimuktamadkan.
Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri telah memulakan sesi libat urus dengan SPR pada 22 Sept lepas manakala cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 turut dikemukakan bagi meneliti perkara itu.
Menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan mengenai mekanisme perundangan bagi mengekalkan nisbah satu pertiga itu sekiranya berlaku penambahan kerusi di Semenanjung, Mustapha berkata persetujuan secara dasar dan prinsip untuk menambah kerusi Sabah dan Sarawak merupakan satu kejayaan penting di bawah Kerajaan MADANI.
“Jadi, maknanya ini secara spesifik dalam Perjanjian MA63 bahawa satu pertiga itu mesti dari Sabah, Sarawak dan Singapura…Singapura sudah meninggalkan kita. Jadi, kita kena pastikan perwakilan yang sewajarnya dalam Parlimen, dalam Dewan ini,” katanya.
Berhubung pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Mustapha berkata cadangan formula pengiraan yang lebih jelas, konsisten dan mampan masih dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Sebagai langkah interim, beliau berkata pemberian khas kepada Sarawak dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion mulai 2026, namun kadar itu bukan penyelesaian muktamad kepada rundingan formula jangka panjang.
Sementara itu, Mustapha berkata penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak penting bagi memastikan suara Borneo diambil kira dalam setiap keputusan dasar yang dibuat di Parlimen.
“Jadi, apa yang kita minta ialah kita mahu suara Borneo ini, suara Sabah dan Sarawak ini cukup di Dewan Rakyat yang mulia ini.
“Itu sebab kita mahu supaya apa-apa pun keputusan dasar yang ditetapkan di Parlimen ini, suara Borneo akan diambil kira. Itu yang penting,” katanya menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar).
Zakri dalam soalannya ingin tahu mengenai implikasi peningkatan perwakilan politik dan hak kewangan Sabah dan Sarawak terhadap keseimbangan kuasa dalam proses membuat keputusan negara serta mekanisme bagi memastikan penambahan kerusi tidak hanya menguntungkan parti politik tertentu. — BERNAMA
































