Arthur menyampaikan anak pokok buah-buahan kepada penduduk kampung.
PAGALUNGAN: Penduduk di 40 kampung sekitar Pagalungan berpotensi menikmati sumber makanan dan pendapatan tambahan menerusi penanaman pokok buah-buahan di bawah Program Penghijauan Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pengagihan anak pokok durian, rambutan dan nangka bukan sekadar bertujuan menghijaukan kawasan kampung, malah merupakan pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat luar bandar.
Katanya, tanaman berkenaan berpotensi memberikan pulangan ekonomi apabila mula mengeluarkan hasil, sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk.
“Inisiatif penghijauan ini bukan sahaja penting untuk memelihara alam sekitar, malah memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat dalam jangka panjang,” katanya ketika menghadiri Program Kesedaran Awam Melalui Program Penghijauan Malaysia di sini.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata usaha itu turut berpotensi membuka ruang kepada penganjuran pesta buah-buahan pada masa depan sekiranya tanaman yang diusahakan penduduk menghasilkan pengeluaran yang memberangsangkan.
Beliau berkata program berkenaan amat signifikan kepada kawasan Parlimen Pensiangan yang mempunyai kawasan hutan simpan yang luas serta memainkan peranan penting dalam mengimbangi kesan perubahan iklim.
Menurutnya, pemeliharaan hutan perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana khazanah alam itu mempunyai nilai jangka panjang yang jauh lebih besar, khususnya sebagai kawasan penyerapan karbon, berbanding keuntungan sementara daripada aktiviti penebangan hutan.
“Usaha menjaga kelestarian alam sekitar perlu dilaksanakan secara berterusan supaya generasi akan datang turut menikmati manfaat daripada sumber semula jadi yang masih terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan agenda pemuliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman.
Katanya, pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan asas perlu dilaksanakan seiring program kelestarian bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Antara inisiatif pembangunan yang diketengahkan termasuk menaik taraf kemudahan tamu, pembinaan kilang kopi, penyediaan pusat Tingkatan Enam serta pembinaan jaringan jalan raya yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk.
Beliau berkata kemudahan berkenaan penting bagi memperkukuh kegiatan ekonomi setempat, memudahkan pemasaran hasil pertanian serta meningkatkan akses masyarakat kepada peluang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.
Arthur turut berharap penduduk yang menerima anak pokok buah-buahan dapat menjaganya dengan baik dan berterusan supaya tanaman berkenaan mampu mengeluarkan hasil pada masa depan.
Katanya, pendekatan pembangunan yang menggabungkan pemeliharaan alam sekitar, pertanian dan penyediaan infrastruktur mampu membantu membentuk komuniti luar bandar yang lebih berdikari serta mempunyai sumber ekonomi mampan.
“Pembangunan dan kelestarian alam sekitar perlu bergerak seiring demi memastikan masyarakat Pensiangan bukan sahaja menikmati kemudahan fizikal, tetapi turut memperoleh peluang ekonomi yang berterusan,” katanya.
































