KUALA LUMPUR (Bernama): Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara Fasa Kedua (JENDELA 2) akan bermula secara berperingkat pada penghujung suku keempat tahun ini dengan 145 lokasi menara baharu dan 207 lokasi penyelesaian jalur lebar satelit dikenal pasti di Sabah.
Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan inisiatif kesinambungan itu memberi tumpuan kepada kawasan yang masih mempunyai jurang kesalinghubungan melalui penyediaan rangkaian selular 4G, gabungan 4G dan 5G, serta jalur lebar satelit berdasarkan kesesuaian lokasi, bentuk muka bumi dan kepadatan penduduk.
Menurut kementerian itu, perkembangan infrastruktur di bawah JENDELA Fasa 1 turut menunjukkan pencapaian ketara di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah, termasuk di Parlimen Libaran yang mencapai kadar liputan Internet kawasan berpenduduk sebanyak 99.81 peratus serta Parlimen Kota Marudu pada tahap 98.96 peratus setakat 1 Sept lepas.
“Di Parlimen Libaran, sebanyak 25 menara komunikasi siap dibina dan beroperasi manakala dua lagi masih dalam pelaksanaan.
“Selain itu, kesemua 215 stesen pemancar telah dinaik taraf, 20,976 premis tersedia dengan capaian gentian optik, serta 10 lokasi projek Titik Kehadiran (PoP) beroperasi berhampiran sekolah,” menurut jawapan bertulis itu.
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan belum terdapat lokasi di Parlimen Libaran dikenal pasti di bawah JENDELA 2 pada masa ini, namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menilai keperluan kesalinghubungan di kawasan berkenaan, termasuk kawasan yang masih mengalami liputan lemah.
Kementerian Komunikasi menjawab pertanyaan yang dikemukakan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) dan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai projek JENDELA.
Suhaimi ingin tahu status baki projek JENDELA dan JENDELA 2 di Libaran sehingga September 2026, termasuk jumlah menara, PoP dan gentian optik yang beroperasi, senarai kampung masih mengalami liputan lemah dengan data liputan semasa, serta tarikh siap menutup semua kawasan tiada liputan.
Wetrom pula bertanyakan status peluncuran menara telekomunikasi baharu di bawah projek JENDELA di mukim pedalaman Kota Marudu serta penyelesaian isu titik buta (blindspot)liputan Internet 4G/5G bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan ekonomi digital penduduk kampung.
Bagi Parlimen Kota Marudu pula, kementerian itu memaklumkan sebanyak 55 menara komunikasi telah siap dan beroperasi manakala sebuah lagi menara di Kampung Sonsogon Magandai masih dalam pelaksanaan, di samping 152 stesen pemancar dinaik taraf dan 10,307 premis tersedia dengan capaian gentian optik.
Dari segi peluasan rangkaian 5G di Kota Marudu, U Mobile telah menaik taraf 15 tapak pemancar dengan liputan mencecah 53.6 peratus kawasan berpenduduk, manakala Digital Nasional Berhad (DNB) membangunkan lima tapak pemancar 5G yang menyediakan 29.9 peratus liputan.
Bagi memastikan kualiti perkhidmatan di peringkat akar umbi, MCMC telah melaksanakan audit Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dari 1 Jan hingga 1 Sept lepas di kedua-dua kawasan berkenaan.
Di Libaran, audit di 40 lokasi mengesan 16 ketidakpatuhan di lapan kampung iaitu Kampung Batu Putih, Kampung Sungai Kayu, Kampung Sungai Obar, Kampung Pertanian, Kampung Garinono, Kampung Nunuyan Laut, Kampung Kitagas dan Kampung Sungai Kapor, dengan baki 13 kes telah dirujuk kepada pemberi perkhidmatan untuk pelan penambahbaikan selepas tiga lokasi selesai dioptimumkan.
Di Kota Marudu pula, enam daripada lapan lokasi dikesan tidak mematuhi MSQoS telah selesai menjalani kerja pengoptimuman rangkaian, manakala bagi menyokong keperluan pembelajaran dalam talian dan ekonomi digital penduduk setempat, lima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut beroperasi di Kampung Tingkalanon, Kampung Tandek, Kampung Ranau, Pekan Matunggong dan Simpang Tiga Langkon.
“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh liputan dan kualiti perkhidmatan Internet secara berterusan bagi memastikan semua penduduk mendapat manfaat kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh,” menurut kementerian itu. — BERNAMA
































