Tun Musa (lima dari kiri) bergambar bersama Victor (empat dari kiri), Abdul Fuad (tiga dari kanan) serta rombongan ESSCOM.
KOTA KINABALU: Kejayaan mengekalkan rekod sifar kes penculikan di kawasan Pantai Timur Sabah memperkukuh keyakinan terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos berkata, pencapaian itu merupakan hasil kesinambungan usaha kepimpinan terdahulu serta kerjasama erat semua pihak dalam memastikan keselamatan kawasan berkenaan terus terpelihara.
“Di bawah kepimpinan peneraju sebelum ini, sejak dari 15 Januari 2020 hingga hari ini, kita masih lagi berjaya mengekalkan rekod sifar kes penculikan.
“Apabila tahap keselamatan sentiasa terjamin, pembangunan di kawasan Pantai Timur Sabah dapat berjalan lancar dan semakin meningkat, sekali gus memberi ruang dan peluang yang luas kepada masyarakat setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi.
“Kejayaan ini turut memberi kesan positif apabila kebanyakan negara luar telah menurunkan tahap amaran atau notis nasihat perjalanan ke kawasan berkenaan daripada tahap tiga dan dua kepada tahap satu.
“Kesannya, kita dapat melihat kehadiran para pelancong dari negara-negara yang sering berkunjung ke sini semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Victor berkata, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan secara rasmi pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, selain memperkenalkan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Fuad Abdul Malek yang akan mengambil alih jawatan itu pada 19 November ini.
Victor turut menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan komander baharu mengekalkan tahap keselamatan di kawasan ESSCOM, berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang luas mengenai selok-belok keselamatan di Sabah.
Hadir sama, Ketua Staf Pusat Operasi (KS PUSOP), Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria, Ketua Staf Operasi Laut (KS BOL), Laksamana Pertama Abdul Razak Mohamed, Ketua Staf Pasukan Khas (KS PK), Nasri Mansor dan Pengarah Bahagian Tindakan Awam (BTA), Georgie Abas.






























