PUTRAJAYA (Bernama): Sebanyak 69 butiran warisan termasuk uthappam, mi kolok dan kek lapis iaitu makanan terkenal yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan 2026, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man.
Dalam kenyataan sempena Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2026 Kali Ke-6, beliau berkata daripada jumlah itu 39 butiran warisan telah diisytiharkan setakat ini, manakala baki 30 butiran lagi akan menyusul untuk diwartakan.
“Kesemua butiran warisan itu adalah bagi mengiktiraf dan merlindungi warisan negara yang merangkumi warisan ketara, warisan tidak ketara serta penerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH),” katanya.
Beliau berkata 11 tokoh warisan turut menerima pengiktirafan dan akan dianugerahkan sijil pengiktirafan Warisan Kebangsaan berserta wang saguhati berjumlah RM20,000 serta insentif daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Antara penerima pengiktirafan tersebut ialah Che Mohd Nasir Yusoff dalam bidang seni persembahan wayang kulit Kelantan, Salbiah Muhi dalam bidang sulaman keringkam, serta Siow Ho Phiew dalam bidang persembahan tarian singa dan pembuatan boneka kepala singa.
Sebanyak 16 objek warisan turut diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan, termasuk Mushaf Al-Quran Terengganu, Cokmar Dewan Rakyat yang digunakan pada 1952 dan Cokmar Dewan Negara yang digunakan pada 1966, serta meja mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman.
“Sebanyak 30 lagi butiran warisan yang akan menyusul untuk diwartakan. Antaranya perayaan Hari Gawai, adat berkadim dan pending.
“Antara makanan yang turut disenaraikan ialah kacang pool, nasi kandar, apam Johol, kuih chang, char kue kak dan pasembur,” katanya.
Selain itu, senarai warisan budaya tersebut turut merangkumi budaya sarapan Malaysia, Tadau Kaamatan, adat perkahwinan Baba Nyonya, tahnik, kraf tembaga, terompah, tajau, sompoton, kain punca potong, kain Limar Tenggarung, baju Sikap, Hikayat Puteri Saadong, Lagenda Mahsuri, Lagenda Puteri Santubong dan Tuhfat Al-Nafis.
Chiew berkata pengisytiharan Warisan Kebangsaan merupakan amanah perundangan penting yang termaktub di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Beliau berkata di bawah kerangka Akta 645, proses penyaringan, penyelidikan dan penilaian teknikal dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Warisan.
“Walau bagaimanapun, undang-undang menetapkan bahawa kuasa akhir untuk mengisytiharkan sesuatu butiran sebagai Warisan Kebangsaan terletak pada menteri.
“Mandat ini membawa makna yang sangat besar. Pengisytiharan ini bukan sekadar memberikan nama atau gelaran, tetapi merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata setiap Warisan Kebangsaan akan mendapat perlindungan di bawah undang-undang, diberi keutamaan dalam usaha pemeliharaan serta menerima sokongan pemuliharaan daripada negara.
Chiew turut menegaskan bahawa pelancongan berasaskan warisan budaya mampu membuka peluang pendapatan kepada penggiat seni, pengusaha kraf dan komuniti setempat.
“Namun, dalam usaha mengembangkan potensi tersebut, keaslian dan nilai warisan perlu terus dipelihara,” katanya. — BERNAMA
































