KOTA MARUDU: Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek Datuk Dr Janathan Kandok mengadakan lawatan awal pagi ke Tamu Kampung Marak Parak sebagai sebahagian daripada siri Program Ziarah Rakyat pada Khamis.
Lawatan yang bermula seawal jam 4.30 pagi itu bertujuan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk setempat serta para peniaga di tamu tradisional berkenaan yang telah beroperasi sejak tahun 1980-an, lebih empat dekad lalu.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Marudu, Tamu Marak Parak menjadi platform penting bagi penduduk kampung memasarkan hasil pertanian dan kraftangan untuk menjana pendapatan harian.
Berbeza dengan kebanyakan tamu lain di kawasan Tandek yang lazimnya mula beroperasi sekitar jam 7 pagi, Tamu Marak Parak memulakan operasinya seawal jam 5.30 pagi, dengan sebahagian besar peniaga mula meninggalkan tapak tamu menjelang jam 8 pagi.
Mengambil kira waktu operasi tersebut, Janathan bersama rombongan bertolak seawal jam 4.30 pagi bagi memastikan peluang bertemu penduduk dan peniaga dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Dalam lawatan itu, Janathan turut meninjau potensi pembangunan kawasan sekitar Marak Parak yang difahamkan menjadi sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.
Kawasan berkenaan juga mempunyai potensi pelancongan strategik kerana terletak tidak jauh dari destinasi pelancongan terkenal, Air Terjun Serinsim.
Bercakap kepada media selepas lawatan itu, Janathan menggalakkan lebih ramai orang ramai dan pelancong luar berkunjung ke Tamu Marak Parak serta menerokai keindahan Air Terjun Serinsim.
“Kita amat menggalakkan lebih ramai pelancong dan pengunjung luar datang ke Marak Parak, merasai sendiri keunikan tamu tradisi ini serta melawat Air Terjun Serinsim.
“Sokongan orang ramai menerusi pembelian hasil tani tempatan dan aktiviti pelancongan komuniti diyakini mampu meningkatkan taraf hidup serta pendapatan penduduk Marak Parak,” katanya.
Janathan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu berkata, Program Ziarah Rakyat akan terus diperluaskan ke pelbagai kawasan pedalaman di DUN Tandek bagi memastikan suara, kebimbangan dan aspirasi masyarakat akar umbi sentiasa didengari serta diberi perhatian.
Turut mengiringi beliau ialah Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Kota Marudu Jeson Majimal; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu Datuk George Sangkin; serta Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek Johari Pengaju dan Mohd Fakhrurrazi Abd Wahab.
































